Tuesday, August 31, 2010

SALAM MERDEKA

Selamat menyambut hari kebangsaan yang ke 53.  Salam merdeka untuk semua juga.  Di samping itu selamat meneruskan ibadah puasa dan amalan ibadah lain yang terbaik untuk mendapat ganjaran Lailatul Qadar.

Bagus juga ya semuanya terkumpul sekaligus begini. :)

Monday, August 23, 2010

SUP LALAT!

Sejak semalam lagi rasa nak makan sup perut campur lidah.  Jadi hari ini saya berusaha habiskan kerja cepat dan langsung menghala pulang.  Sebelum balik ke rumah, singgah la di pasar Ramadhan di mana pelbagai sup dijual.

Walaupun bertolak lebih awal dari biasa, lewat pukul 6 petang baru sampai di pasar Ramadhan.  Selepas itu pusing-pusing mencari parkir pula.

Sampai jer di gerai sup itu, memang tak berapa ramai orang.  Dalam menunggu giliran saya terperasan begitu banyak ekor lalat hijau yang besar tu di dalam pelbagai bahagian isi sup.  Di dalam bahagian perut dan lidah pun ada beberapa ekor lalat hijau ni.

Terus tekak naik loya pula.  Terlintas di dalam hati, 'sup perut dan lidah atau sup lalat hijau?'  Terus pesanan dibatalkan dengan alasan dah lewat sangat.

Waktu berbuka tadi tekak saya terus merasa loya.  Makan apa pun rasa nak muntah.  Isteri kata ini kerana perut masuk angin.  Tak mungkin itu sebabnya!

Saturday, August 21, 2010

SAH SUDAH TENTANG PILIHANRAYA

Mengikut sumber dari negri kelahiran saya, pilihanraya negeri akan diadakan dalam masa terdekat.  Bila tarikhnya tentulah hanya akan diumumkan nanti.

Ikutkan hati malas nak balik mengundi.  Tetapi jika diadakan semasa saya sekeluarga balik bercuti sempena hari raya, tentulah saya akan turut mengundi juga.

Angin bertiup kencang dengan perubahan sikap ramai warga Sarawak.  Namun begitu, tiada janji yang pasti.  Bukan apa, rakyat yang miskin tegar di ceruk pendalaman mungkin akan mengikut tradisi juga.

Friday, August 13, 2010

PUASA MENAHAN LAPAR

Nampaknya ramai orang berpuasa dengan hanya menahan rasa lapar dan dahaga di siang hari saja.  Nafsu kebanyakan manusia masih di tahap yang kurang mantap.  Saya pun kekadang rasa saya mengikut nafsu.

Salah satu hal yang ketara ialah ramai orang yang berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini masih berpakaian yang tidak Islamik.  Ramai perempuan terus memakai seluar sendat, berskirt dan berbaju pendek serta pastinya tidak bertudung.

Kemudian masih ramai asyik suka mengutuk orang.  Ada saja yang tak kena mengenai orang lain.

Seperkara lagi ialah tentang orang ramai berpusu-pusu ke pasar/bazaar Ramadhan.  Sudah dua hari berpuasa ini jalan-jalan menuju ke pasar/bazaar Ramadhan begitu sesak.  Lepas itu kebanyakan gerai makanan/minuman memang ramai orang beratur menunggu giliran membeli.  Macam-macam yang dibeli.  Ini termasuk saya jugalah.

Aduh! Bila difikirkan memang terasa benar ramai orang memang berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga di siang hari saja.

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL MUBARAK

Pihak berwajip sudah mengesahkan bahawa umat Islam Malaysia akan memulakan ibadah puasa wajip Ramadan tahun ini mulai esok hari.  Segala ibadah wajip dan sunat Ramadan bermula dari malam ini.

Marilah kita sama-sama menyemarakkan Ramadan 1431H ini dengan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.  Semoga Allah SWT merahmati kita dengan kekuatan dan kesihatan serta umur yang panjang untuk mendapat sebaik-baik dan sebanyak-banyak ganjaran tahun ini.

SELAMAT BERAMAL IBADAH
SEMARAKKANLAH
RAMADAN AL MUBARAK 1431H

Monday, August 2, 2010

IKAN TERUBUK MASIN

Antara buah tangan yang sering dibeli di Sarawak termasuklah ikan terubuk masin.  Di mana-mana pasar atau pasar tani mesti ada orang jual ikan terubuk masin ini.  Harganya tidak juga murah.

Saya sebagai seorang Sarawak jati, iaitu memang 100 peratus, pun kurang mengerti kenapa terubuk masin ini popular.  Bagi saya tidak ada apa rasa istimewanya.  Habis-habis orang goreng sebagai ikan kering atau ikan asin saja.  Mungkin ada yang buat masak lain seperti kari atau masak lemak.  Begitu pun saya tidak rasa ia istimewa.

Bagi saya telur terubuk adalah jauh lebih sedap dan lebih istimewa.  Tetapi sekarang harganya amat mahal dan memang susah juga untuk mendapat bekalannya.