Sunday, October 31, 2010

SERANGAN ANGIN AHMAR

Sejak semalam topik yang saya turut ikut perkatakan ialah tentang penyakit stroke atau dikenali juga sebagai angin ahmar.  Ini adalah kerana abang sulung saya baru saja terkena stroke ini.  Ibu memanggil anak-anak lain balik ke kampung untuk memberi sokongan moral.

Ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.  Abang saya terlalu amat stres sejak setahun yang lalu selepas rakan kongsi niaganya songlap sebahagian besar duit syarikat.

Saya pulang selama dua hari untuk bersama keluarga.  Memang kasihan melihat keadaan abang yang dalam keadaan separa sedar.  Beliau lumpuh total dan terlantar tanpa dapat berkata-kata.  Doktor pula tidak menjanjikan apa-apa.

Nampaknya, keluarga abang saya terpaksalah memberi perhatian kepada beliau.  Beliau sekarang bergantung sepenhnya kepada bantuan orang.  Sungguh amat menyedihkan.

Agaknya ini yang selalu dikatakan oleh para medik.  Jika serangan jantung, orang boleh terus meninggal.  Tetapi jika terkena stroke, orang boleh lumpuh untuk tempuh masa yang tiada terhad.

Kita mesti harus lebih peka menjaga keperluan kesihatan badan kita.  Jika sudah terjadi perkara seperti ini, semua orang susah! 

Tuesday, October 26, 2010

SEMENTELAH BUANG MASA

Sepetang saya membuang masa menunggu klien yang tidak datang-datang.  Apa nak buatkan, kekadang memang terjadi perkara seperti begini.

Saya menunggu sejak pukul 2.30 petang hingga membawa ke senja.  Nasib baiklah saya menunggu di lobby hotel.  Jadi dapatlah menggunakan kemudahan hotel untuk solat dan sebagainya.

Apabila hampir senja, barulah klien tu menelefon memberi tahu bahawa keretanya rosak.  Beliau mahu menjadualkan pertemuan besok hari.  Tapi saya minta dia datang ke pejabat saya saja.  Tak adalah saya membuang masa seperti hari ini, jika ada halangan lainnya.

Tadi semasa menjelang senja, saya nampak pemandangan sekitar hotel itu cantik pula.  Jadi saya ambillah gambarnya.  Lihatlah pemandangan Kuala Lumpur di waktu senja ini.

Sunday, October 17, 2010

PEMBANTU RUMAH TEMPATAN

Hari ini Pengerusi FELDA berkata bahawa Lembaga ini sedang menjana perancangan untuk menyediakan khidmat pembantu rumah yang terlatih.  Mereka akan melatih peserta dengan kepakaran yang perlu.  Pihak Yayasan akan bertindak sebagai ejen dalam menyediakan khidmat bekalan pembantu rumah tempatan yang terlatih kepada majikan, disamping memastikan kebajikan pekerja berkenaan terjaga.

Mengikut Perancangan, program menyediakan pembantu rumah terlatih akan bermula pada Januari akan datang.  Peserta akan menjalani latihan selama setahun.  Pembantu rumah terlatih kemudian akan bekerja dengan kadar gaji antara RM 700 ke RM1,000.

Jika ini benar-benar menjadi kenyataan, ini anjakan yang bagus untuk rakyat Malaysia.  Sekurang-kurangnya ini akan menguntungkan semua pihak.

Majikan akan rasa terjamin dengan tawaran perkhidmatan seperti ini.  Pekerja dijamin terlatih, dan kadarnya juga berpatutan.  Pembantu pula akan mendapat jaminan pekerjaan dan lindungan sebagai pekerja.

Harap ini bukan cakap politik saja.  Begitu juga, biarlah jumlah kemasukan pelajar tidak terhad kepada 100 pelajar yang gagal mendapat tempat ke institusi pengajian itu saja.  Tentu lebih bijak untuk turut melebarkan pengambilan peserta dari kalangan penuntut lepasan sekolah di seluruh negara.  Pasti lebih ramai lagi yang mahu mengikuti kursus ini jika ada jaminan pekerjaan dan gajinya juga agak lumayan.

Apa yang nyata sekarang mereka yang bekerja sebagai pembantu pejabat dan kerani pun tidak begitu tinggi pendapatannya.  Itupun ramai yang mahu bekerja.

Jika FELDA ikhlas dan serius, dalam masa setahun lagi masaalah mendapat pembantu rumah terlatih akan dapat ditangani dengan lebih efektif.  Majikan pun tentu lebih selesa kerana tidak payah melalui proses pengambilan khidmat warga asing yang amat lece.

Monday, October 11, 2010

KEBESARAN ALLAH SWT

Apabila mendengar Maher Zain berterus-terang menyatakan bahawa dia pernah tersasar hinggakan sampai dia terlupa membaca Al Fatihah tiga tahun yang lalu, saya makin amat insaf tentang kebesaran Allah SWT.  Bukan apa, saya juga pernah mengalami peristiwa hampir serupa semasa umur sebaya dia terjebak sesat itu.

Sebagai anak bongsu, saya lebih dimanjakan.  Ibu selalu mengikut apa saja mahu saya.  Cuma Ayah saja yang selalu mengingatkan Ibu supaya jangan berlebihan mengalah dengan kemahuan dan kerenah saya.

Selepas habis Tingkatan 5, saya tidak mahu belajar lagi.  Sebaliknya saya terus cari kerja dan nasib saya baik kerana mudah mendapat jawatan di sektor awam.  Kemudian saya ikut-ikutan dengan gaya remaja yang suka berpoya.  Gaji tak cukup, Ibu sedia menampung keperluan saya.

Tiga tahun lebih saya hanyut.  Saya sentiasa pulang rumah hampir ke subuh hari.  Sembahyang langsung ditinggalkan kerana sentiasa berdampingan dengan kumpulan kawan yang menunggang air setan!

Sehingga satu hari saya difitnah terlibat dadah.  Nasib baik abang sulung saya merayu pegawai penguatkuasa supaya melepaskan saya dalam jaminannya.

Sejak hari itu saya bertaubat.  Saya berkenalan dengan isteri saya, dan dua tahun kemudian kami terus ke jinjang pelamin.  Alhamdulillah, saya diberi peluang bertaubat dan memperbaiki diri.

Tuesday, October 5, 2010

KACANG CERDIK

Semalam saya pergi untuk pemeriksaan doktor.  Secara berseloroh doktor berkata, jika nak kurangkan stres eloklah saya makan 'pistachios' atau apa kita kenali juga sebagai kacang cerdik.  Saya ketawa dan bertanya apa kaitan kacang cerdik dengan stres.

Mengikut penerangan doktor ini kajian saintifik yang kukuh membuat kesimpulan bahawa dengan pengambilan kacang cerdik dalam diet seharian, ia  akan berupaya melawan tekanan dari kehidupan seharian kita.  Kajian juga menunjukkan kadar kolestrol terkawal.  Dengan memakan kacang cerdik juga akan menurunkan  risiko untuk mengidap barah paru-paru dan juga lain-lain barah.

Selain itu katanya kacang cerdik juga bantu merangsangkan pertumbuhan kepada manusia dari semasa dalam kandungan lagi.  Kanak-kanak yang lahir dari rahim ibu yang makan kacang cerdik dalam diet hariannya akan jauh lebih tinggi IQ mereka, dan menjadi anak-anak pintar.

Termakan pula dengan segala penerangan doktor, saya pun bertekad untuk mula makan kacang cerdik tiap hari.  Sebelum balik kerja, saya terus saja singgah di Supermarkat.  Kebetulan pun isteri telah pesan minta belikan beberapa bekalan dapur.

Apabila membeli dengan banyak, barulah saya tengok harga kacang cerdik tu betul-betul.  Mak Datuk ai!  Mahalnya harga kacang ini.

Waktu duduk makan kacang cerdik ini seorang staf yang senior menegur secara berseluruh.  Katanya, 'jangankan isteri mengandung, suami yang makan kacang cerdiknya!'

Saya tak pula tahu cerita disebalik kacang cerdik.  Jadi saya tak dapat menangkap apa maksudnya.

Mengikut ceritanya kacang cerdik ada kaitan dengan cerita orang Arab dan orang Yahudi.  Orang-orang benua ini memang suka makan kacang cerdik.  Ibu-ibu mengandung memang menjadikannya diet harian kerana mereka semua mahukan keturunan yang cerdik serta pintar.

Jadi itulah yang dimaksudkan staf itu, iaitu berusaha melahirkan generasi yang pintar.  Jadi jenakanya bermaksud bila makan kacang cerdik, anak akan menjadi lebih pintar.

Sebenarnya, tempuhari ada teman niaga datang melawat gudang.  Oleh kerana pekerja-pekerja tidak meletakkan stok barang dengan kemas, ia kelihatan agak berterabur.  Tetamu berkenaan komen, 'kalau pekerja tidak pintar, suruh mereka lahirkan anak pintar!'